“Saya bukan Melayu, saya Orang Asli”

by Gan Pei Ling / 2 May 2011 © The Nut Graph

(All pics below courtesy of Tijah Yok Chopil)

ONCE, when she attended a job interview in the Klang Valley, Tijah Yok Chopil’s Malaysian employer did not get it when she told him she was an Orang Asli.

“Dia ingat saya orang Indonesia atau Melayu … Saya beritahunya [selalu kita cakap] Melayu, Cina, India dan lain-lain, saya [sebahagian daripada] dan lain-lain … Apabila saya beritahunya ada 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung, dia lagi pening,” Tijah recalled.

The activist said it goes to show how ignorant some Malaysians could be about the indigenous people in Malaysia.

Tijah started her activism by founding her own women’s group in her kampung in Bidor, Perak called Kumpulan Ibu-Ibu Kampung Chang. From there, the group evolved into Sinui Pai, Nanek Sengik (New Life, One Heart) in 1995. They ran programmes to empower the community with economic skills and knowledge about their rights.

Over the years, the model spread to other villages in Perak and other states, eventually resulting in the formation of Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAS). The grassroots network has been highlighting Orang Asli issues and campaigning for the government’s recognition of their land and indigenous rights.

Tijah, who is now JKOAS secretary, shares her humble beginnings and some Orang Asli folk tales with The Nut Graph in an interview on 23 Oct 2010 in Petaling Jaya.

TNG: Bila dan di mana Tijah dilahirkan?

Saya berasal dari Kampung Chang Lama Sungai Gepai di Bidor, Perak dan dilahirkan pada 17 March 1968 – sama tarikh dengan demonstrasi Orang Asli tahun lepas di Putrajaya.

Boleh kongsi asal-usul keturunan Tijah?

Saya tulen berketurunan Semai.

Mengikut kepercayaan nenek moyang saya, komuniti Semai sudah wujud di sini semenjak batu-batu masih lembut. Buktinya tapak-tapak kaki yang masih kekal di atas batu dekat kawasan air terjun kami.

Footsteps made by her ancestors when the rocks were still young, according to Tijah’s village folk tales

Ceritanya, [pada masa dahulu], ada dua orang adik perempuan yang dikejar hantu rusa. Kami memanggil dua orang gadis itu ubai baleh dalam bahasa Semai. Rusa itu sepatutnya dimakan tetapi tertangguh-tangguh selama tujuh hari sehingga terjemar menjadi hantu dan mengejar dua budak perempuan itu semasa ibu bapa mereka pergi ke hutan. Tapak kaki dua orang adik-beradik dan hantu rusa masih ada di kawasan air terjun sampai sekarang.

Ramai orang pernah tanya saya sejak bila Orang Asli wujud di tanah Semenanjung, kami tidak pasti jangka masa [yang tepat], tetapi kami tahu kami memang orang asal tanah ini, tidak ada keturunan dari negara-negara lain macam orang lain.

Selain daripada cerita tadi, apa cerita Orang Asli lain yang sering diberitahu orang tua yang Tijah gemar?

Ada banyak cerita. Menurut kepercayaan kampung saya, pada sesuatu ketika, tanah Semenanjung ini berada dalam keadaan yang gelap sebab bulan telah terjatuh ke bumi. Saya pernah mendengar cerita yang sama di kampung-kampung lain, mungkin keadaan ini berlaku sedunia.

Maka salah seorang nenek moyang kami yang halak (mempunyai ilmu spiritual yang tinggi) telah mengadakan sewang bubun gelap selama 14 malam, 14 siang untuk memujuk semangat bulan kembali ke langit. Ini kerana mereka mempercayai semakin lama [bulan] tinggal di bumi, dia akan makan manusia.

Nenek moyang yang halak itu kami memanggilnya Tok Churoq. Dia telah berjaya menghantar bulan balik ke langit. Maka bulan pun ingin membalas budinya dan memanggilnya untuk menyediakan tujuh lapis tikar krawoq, sejenis tikar mengkuang dengan anyaman khas yang sangat cantik.

Namun Tok Churoq tidak sempat menyiapkan tikar itu dan tuhaad (hadiah mengenang budi) itu terus menembusi bumi. Bulan memberitahunya batu itu sebenarnya batu umur, sesiapa yang uzur bersandar dekat batu itu akan menjadi muda lagi. Tetapi sekarang batu itu sudah jatuh ke dasar bumi, maka ditakdirkan umat manusia di dunia ini akan mati di atas bumi dan dihidupkan kembali apabila dikebumikan. Kepercayaan ini masih dikekal di kalangan kami.

Saya tahu cerita ini macam cerita dongeng, tetapi kami mempercayai dan menurunkan cerita-cerita ini dengan jelas kepada anak-anak kami.

Ada lagi cerita tentang asal-usul kejadian pokok, ikan, binatang dan sebagainya, saya suka mengambil cerita-cerita ini tetapi tidak ada masa untuk mencatat dalam buku betul-betul.

Apakah kenangan Tijah yang paling kuat semasa membesar?

Ibu bapa saya sangat baik hati, kami bukan orang senang, memang orang susah, tetapi mereka akan berkongsi apa yang ada dengan orang kampung. Kami tidak pernah makan bersendirian, mesti ada tetamu. Kadang-kadang kami berasa sedih kerana kami sendiri pun tak cukup makan.

With 100 other Orang Asli representatives attending a convention in Kuala Lumpur in December 2010

Bapa saya meninggal dunia ketika saya 12 tahun, keadaan menjadi lebih susah, emak saya terpaksa pergi menoreh getah, memancing ikan dan mencari ubi keledek, ubi keladi atau ubi kayu walaupun sakit tulang. Emak masih akan berkongsi makanan kami dengan orang lain pada ketika itu kerana dia memang tidak sampai hati orang lain melihat sewaktu kami makan.

Walaupun hanya 12 tahun, saya macam sudah dewasa kerana terpaksa membantu emak dan kakak, bersama-sama pergi menoreh getah kami seluas dua ekar. Pokoknya tidak banyak kerana sudah tua dan mati dimakan anai-anai.  Saya dan kakak juga bekerja di kebun sayur orang Cina, kami berjalan kaki sejauh tiga hingga empat batu tiap-tiap hari.  Kami tidak bermain-main seperti kanak-kanak lain, bekerja itu menjadi sejenis permainan bagi kami.

Sungguhpun saya seorang perempuan, saya pernah membuat pelbagai kerja macam anak lelaki – membacu simen, membuat pagar, memotong kayu sepanjang lapan kaki, sebesar ibu jari kaki dan diikat sebanyak 25 kelamin, selepas itu mengangkutnya ke suatu tempat yang diperlukan dengan memikul dibahu. Kerja ini kami lakukan sebelah petang selepas kembali dari kerja di kebun-kebun sayur Cina.

Adik-adik saya sangat berdikari kerana kami kerap meninggalkan mereka di rumah semasa kami pergi cari makan. Dari usia lima atau enam tahun mereka kena menjaga sendiri.

Tijah ada beberapa orang adik-beradik?

Semuanya ada 10 tetapi seorang telah meninggal dunia. Pada masa itu, dua kakak dan satu abang saya sudah berkahwin dan duduk di kampung lain, anak kelapan pula dipelihara mak cik saya. Maka tinggal kakak, saya, dua orang adik perempuan dan satu adik lelaki di Kampung Chang Lama.

Saya anak keenam. Kakak saya tidak mampu menghantar kami semua ke sekolah, hanya saya dan adik ketujuh yang bersekolah. Kami tidak tahu macam mana memohon bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (sekarang ditukar nama kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli) walaupun ia wujud. Semua orang di kampung kami membeli buku dan baju sekolah sendiri.

Selepas itu, kakak saya jatuh sakit dan emak pun tidak boleh bekerja kerana kena menjaganya. Dua orang adik terkecil pun mengikut emak dan kakak pergi tinggal di Kampung Langkap. Saya pula menumpang dengan satu keluarga Katholik di Tapah untuk menduduki SPM, tinggal adik saya yang menduduki SRP tinggal bersendirian di rumah.

Sebenarnya saya tidak merancang untuk mengambil SPM, saya sudah berhenti belajar semasa Tingkatan 4 dan keluar bekerja kerana kakak tidak mampu membeli buku untuk saya dan sudah kelihatan kurang sihat.

Tetapi seorang paderi datang mencari saya dan memujuk saya untuk menyambung pelajaran walaupun pada masa itu sudah bulan lima dan tinggal beberapa bulan sahaja sebelum SPM. Dia menyuruh saya untuk mencuba sahaja.

Speaking at an Orang Asli convention in December 2009 in Kuala Lumpur. This was when the idea to organise a march to Putrajaya in March 2010 to protest against a controversial land policy first emerged

Maka Tijah ada habiskan SPM?

Saya tidak mendapat apa-apa gred tetapi lulus beberapa subjek dan mendapat sijil am. Selepas itu saya tidak menyambung pelajaran lagi dan bekerja sekejap sebagai guru tadika di sekolah St Mary dan pernah bekerja di kilang juga.

Namun saya rasa tidak puas hati dan pekerjaan-pekerjaan ini rasanya bukan panggilan saya. Maka saya berhenti kerja, balik ke kampung dan bekerja di ladang sambil membuka kelas untuk mengajar budak-budak.

Saya juga cuba berbincang dengan orang kampung – apa yang terjadi dengan Orang Asli? Kenapa keadaan kita macam ini? Adakah kita suka keadaan sekarang?…Saya berfikir Orang Asli tidak akan menjadi orang terpinggir jika wujudnya satu sistem yang baik untuk [melindungi hak-hak] Orang Asli. Tetapi daripada menyalahkan orang lain, lebih baik saya memulakan sesuatu dan menguji adakah cara saya lebih berkesan untuk menjadikan Orang Asli lebih berkeyakinan diri.

Dan pendapat saya memang tepat, keadaan berubah selepas saya memulakan program untukempower komuniti. Daripada Orang Asli malu dan takut bercakap, mereka menjadi lebih berani untuk berkongsi pendapat mereka. Memang Orang Asli bercita-cita untuk memperbaiki status mereka supaya setaraf dengan orang lain, cuma selama ini mereka salah dianggap orang bodoh dengan otak kosong.

Orang lain yang sentiasa memutuskan dan berfikir bagi pihak Orang Asli apa yang bagus untuk mereka. Maka, semakin lama mereka bukan semakin terbuka, malah, kebijaksanaan dan keyakinan diri semakin terhapus.

Selepas saya yakin cara saya adalah betul, saya terus mengadakan aktiviti dan diskusi dengan orang kampung. Hasil usaha itu kami boleh lihat … Orang akar umbi yang tidak pernah bersekolah dan mendapat apa-apa pendedahan lebih baik daripada Orang Asli yang berpendidikan atau status tinggi, yang takut sangat nama atau gaji mereka terancam.

Sebaliknya, orang kampung tidak terikat dengan apa-apa, dia bercakap ikhlas apa [masalah] yang dihadapinya [di kampung], berdasarkan kebenaran. Kebangkitan dan kesedaran [golongan ini] lah yang menjadi isu Orang Asli lebih hangat timbul, masyarakat Malaysia juga lebih mengambil perhatian terhadap isu kami.

Jika tidak, selama ini Orang Asli dianggap anak emas kerajaan – Orang Asli minta apa-apa sahaja dan kerajaan akan beri! Itu tanggapan negatif yang salah. Sekarang ramai orang masyarakat sudah sedar apa yang benar-benar sedang berlaku dengan Orang Asli.

Bagaimana pula Tijah mengaitkan pengalaman-pengalaman ini dengan identiti sebagai warganegara Malaysia?

Sebenarnya Orang Asli sangat jelas dengan identiti kita. Kita bukan orang Melayu atau Cina, kita Orang Asli, orang lain yang confuse.

Tijah (right) in Kampung Chang in August 2008 to celebrate the International Day of the World’s Indigenous People

Orang Asli tidak macam komuniti lain, kita komuniti yang sangat terikat dengan alam semulajadi dan tanah kita. Kita punya budaya, kepercayaan, kesenian, falsafah kehidupan, cerita mitos … semua berkait kuat dengan tanah di mana kita berasal. Oleh sebab itu, apabila Orang Asli tiba-tiba diusir ke kawasan baru, mereka akan hilang identiti mereka. Berbanding dengan Orang Asli yang masih tinggal di tanah adatnya, Orang Asli yang dipindah ke kawasan baru, jiwa mereka tidak tenang dan adat resam mereka mudah hilang.

Kalau mengikut perlembagaan, kita bukan bumiputera. Kami memang anak jati sini yang tidak berketurunan dari negara lain, kami peribumi tanah ini. Orang Asli memahaminya, tetapi [selepas 53 tahun sejak kemerdekaan Malaya] pemerintah masih belum [sanggup] meletakkan Orang Asli di kedudukan yang tepat.

Setakat ini kami dikenali sebagai Orang Asal bumi Semenanjung tetapi jika secara rasminya masih dikategorikan sebagai “Dan Lain-lain” tanpa maksud yang jelas.

Malah kita sering dimasukkan sebagai orang Melayu, walaupun kita melihat orang Melayu sangat berbeza dengan Orang Asli. Nama Orang Asli pun digalakkan menggunakan “bin” dan “binti” walaupun sebelum ini kita biasa memakai “a/l” dan “a/p”. Ada juga ahli Umno yang menyogok Orang Asli menyertai Umno sedangkan parti itu tidak ada kena-mengena dengan Orang Asli. Jika Orang Asli boleh masuk Umno, maka kita sepatutnya boleh masuk MCA dan MIC juga.

Nampaknya pemerintah sendirilah yang confuse.

Saya pun tidak pasti sama ada mereka benar-benar confuse atau sengaja hendak mengelirukan orang lain.

Iktiraflah kedudukan Orang Asli di dalam perlembagaan. Kita bukan hendak mencabar atau mengambil alih kedudukan orang Melayu. Kita memahami mereka adalah bumiputera, tetapi macam Orang Asal di Sabah dan Sarawak, kita peribumi tanah ini dan sepatutnya hak-hak kita sebagai peribumi dipertahankan. Sekarang [pemerintah] yang memutuskan segala-galanya, ambil tanah Orang Asli dan menentukan siapa yang boleh digelar Orang Asli [sesuka hatinya]. Identiti kita macam sesuatu yang dipermain-mainkan.

Apakah perubahan yang Tijah ingin lihat di Malaysia pada masa depan?

Saya mahu Malaysia yang menghormati semua kaum. Kalau saya boleh mendapat sesuatu, kamu juga boleh dapat. Saya rasa itu lebih adil.

Saya tidak mahu Malaysia yang dikuasai oleh satu kaum sahaja dan kaum lain terpaksa menunduk kepada satu kaum. Itu tidak baik kerana siapa yang menentukan satu kaum lebih mulia daripada orang lain? Tuhan mewujudkan dunia ini dengan pelbagai kaum.

Saya hendak melihat rakyat Malaysia yang menyayangi satu sama lain, bekerjasama berjuang untuk kedamaian semua orang.


The book Found in Malaysia, featuring 50 of our best interviews plus four previously unpublished ones with Datuk Zaid Ibrahim, Tan Sri Rafidah Aziz, Datin Paduka Marina Mahathir and Ramli Ibrahim, is now available at all good bookstores for RM45.

Bookmark the permalink.